SELEPAS dua hari dilaporkan hilang, sorang kanak-kanak austisme ditemukan lemas di Sungai Sarawak, hari ini.
Mangsa dilaporkan hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, di Kuching sejak Ahad.
Muhd. Ramadhan Muhd. Ridhwan, 8, dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, kira-kira lima kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) di Kampung Rantau Panjang, 7.20 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Raffy Saibi berkata, anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menaiki bot bergegas ke lokasi penemuan.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke PKB dan disahkan oleh ibu dan bapanya.
“Keadaan mayat ditemui dalam keadaan sempurna tanpa ada sebarang kesan kecederaan,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Pada Ahad lalu, mangsa disedari hilang dari kediaman mereka di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, kira-kira 2 petang.
Ketika kejadian itu, mangsa tinggal di rumah bersama ibu saudaranya manakala bapanya keluar berniaga.
BBP Batu Lintang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi bagi melancarkan operasi SAR.
Leave a Reply