Oleh RAHIMI MOHAMAD
SATU pasukan pencari atau ‘talent scout’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu ditubuhkan bagi memastikan pengambilan pegawai dan anggotanya pada masa depan merupakan mereka yang benar-benar layak, berminat dan terbaik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, cadangan itu sebagai persiapan dalam menyedia dan memastikan kualiti perhidmatan PDRM setaraf di peringkat antarabangsa malah menjadi contoh kepada dunia.
Malah, langkah itu juga mampu mengelak polis hanya dijadikan kerjaya pilihan terakhir bagi sesetengah individu.
“Asas utama kekuatan PDRM adalah anggotanya, kalau kita hendak pertingkat sudah tentu kita perlu tarik minat mereka untuk bersama-sama dengan PDRM, biar yang memohon sebagai pegawai atau anggota adalah mereka yang terpilih.
“Saya minta kalau boleh, ada ‘talent scout’ diwujudkan oleh PDRM dan dimulakan di peringkat sekolah menengah. Kita mahu mereka yang benar-benar mahu menjadi polis, bukan lagi mereka yang melihat kerjaya ini sebagai pilihan terakhir.
“Melalui ‘talent scout’ ini, saya yakin pengambilan anggota boleh ditambah baik dengan mengambil kira aspek modal insan melibatkan ‘soft skills’, ’emotional intelligence’ dan ‘tech savvy’, ini yang kita mahu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir. Mohamad Zulkefly.
Hamzah berkata, selain cadangan itu termasuk pembangunan aspek fizikal dan infrastruktur, tumpuan juga perlu diberikan terhadap aspek latihan buat pegawai dan anggota polis di negara ini.
“Latihan yang hendak diberi itu perlulah latihan yang boleh bersaing dengan polis luar negara, kita mahu PDRM menjadi setaraf dengan polis ‘Scotland Yard’ atau polis Hong Kong yang biasa kita dengar kisah kejayaan mereka.
“Saya percaya dengan kepimpinan Ketua Polis Negara, kita akan mampu mempertingkatkan PDRM ke satu taraf membanggakan di peringkat dunia,” katanya.
Leave a Reply