logo PKR akar

PRU-15: PKR mahu kitar semula logo partinya wakili PH

PKR seolah-olah menyalahkan keputusan konsensus menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu punca mereka kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Sehubungan itu, parti yang gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka itu menggesa agar logo PKR dikitar semula mewakili PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Desakan itu dilemparkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat semalam.

“Dari dapatan awal pimpinan, SOP (prosedur operasi standard) dikenakan ke atas cara berkempen bagi PRN Melaka telah menyukarkan proses pengenalan calon-calon baharu serta logo yang berbeza dari yang dibawa pada PRU-14.

“Namun, ke hadapan PKR berpandangan bahawa wujud kewajaran logo PKR digunakan semula. Perkara ini akan dibincang dengan lebih lanjut pada mesyuarat PH yang akan datang,” katanya dalam kenyataan media.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, isu penggunaan logo calon bertanding sudah ditekankan sejak dari awal oleh pimpinan dan akar umbi PKR, sebelum PRN Melaka lagi.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, PKR akhirnya bersetuju menggunakan logo PH kerana memahami sikap sekutu-sekutunya.

Pada PRN Melaka lalu, PKR tewas di semua 11 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

Namun, ramai pemerhati politik berpandangan bahawa punca sebenar prestasi buruk PKR adalah disebabkan keputusan menerima bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron bertanding mewakili parti itu di kerusi DUN Asahan.

Sebahagian besar penyokong PKR berpandangan tindakan itu melanggar prinsip menolak calon lompat parti selain menutup peluang pemimpin parti untuk bertanding.

Mereka juga kesal kerana pimpinan PKR seolah-olah menutup sebelah mata terhadap tindakan semberono Idris dan tiga bekas ADUN Melaka yang menyebabkan rakyat di negeri itu terjerumus dalam kemelut politik UMNO.

Selain itu, rakyat Melaka masih tidak lupa betapa azabnya kehidupan mereka semasa negeri itu dan negara dicengkam oleh rejim PH selama hampir dua tahun.

PRN Melaka telah dijadikan platform bagi mereka untuk melampiaskan kemarahan yang tersimpan terhadap sikap angkuh dan bongkak rejim PH yang hanya tahu menabur janji tetapi kemudia memungkirinya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *