Oleh RIZQI ZABIDI
JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan dua kes jangkitan Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar pada 18 dan 25 November lalu dengan kedua-duanya menyebabkan kematian kepada pesakit.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, kematian dua individu tersebut yang tidak dinyatakan umur serta butirannya, menjadikan secara keseluruhannya terdapat tiga kematian akibat penyakit itu di Kedah pada tahun ini.
Katanya, setakat 25 November lalu, jumlah kumulatif kes JE di negeri ini adalah 10 kes berbanding lapan dalam tempoh sama pada 2020.
“Itu bermakna berlaku peningkatan sebanyak 25 peratus bagi kes JE di Kedah pada tahun ini dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.
“Berikutan itu aktiviti kawalan wabak telah dilaksanakan serta merta. Antaranya adalah dengan melakukan kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvasiding di lokaliti kediaman pesakit serta tempat-tempat berisiko lokaliti wabak,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Japanese Encephalitis (JE) merupakan penyakit bawaan nyamuk dan disebarkan kepada manusia melalui gigitan yang membawa virus tersebut.
Othman menambah, kajian entomologi turut dijalankan oleh Pegawai Sains Kaji Serangga di lokaliti wabak selain pihaknya turut melakukan pengesanan kes secara aktif (ACD) di kawasan terlibat.
“Orang ramai dinasihat mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala demam, sakit kepala dan muntah.
“Dalam masa sama, pihak kami turut menjalankan perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk melancarkan aktiviti kawalan vektor bersepadu,” katanya.
Dalam pada itu katanya, orang ramai turut diseru supaya membersihkan persekitaran selain mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing.
“Inisiatif lain seperti menyembur aerosol dalam rumah pada kira-kira pukul 10 malam juga boleh dilakukan untuk membunuh nyamuk dewasa,” katanya.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan dengan sebatan yang tidak lebih dari enam kali,” katanya.
Leave a Reply