Oleh RIZQI ZABIDI
Tiga lelaki tempatan ditahan di Kedah kerana bertindak sebagai ‘transporter’ bagi membawa masuk 17 pendatang asing tanpa izin (PATI), kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, penahanan tiga lelaki itu bersama kesemua PATI tersebut dilakukan di Plaza Tol Hutan Kampung, arah selatan kira-kira pukul 9.30 pagi, Jumaat lalu.
“Tiga lelaki tempatan itu didapati memandu tiga kenderaan tersebut yang membawa 212 perempuan dan lima lelaki warganegara Myanmar.
“Kesemua PATI tersebut yang berusia 21 hingga 44 tahun didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dengan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga lelaki tempatan tersebut dipercayai ditawarkan upah sebanyak RM200 oleh ejen untuk setiap PATI yang dibawa mereka.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Tangkapan kini direman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2021 (Sosma).
Leave a Reply