mahdzir khalid gagasan MN

PRU-15: Masa depan gagasan MN tidak dapat dijangka

Oleh RIZQI ZABIDI

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan, hanya masa yang akan menentukan sama ada gagasan Muafakat Nasional (MN) akan mampu terus bertahan dan bergandingan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, setakat ini tiada pihak mampu menjangkakan apa yang akan berlaku terhadap gagasan MN.

Namun bersandarkan seni kepada segala kemungkinan (art of possibility) dalam dunia politik, segalanya tidak mustahil untuk berlaku.

“Seni politik ini macam-macam boleh berlaku. Ada benda yang dirasakan mustahil boleh terjadi dan begitu juga perkara yang dirasakan tidak mustahil berlaku, akan menjadi kenyataan.

“Kalau tengok kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sesetengah kepimpinan UMNO, mungkin ada yang nampak seolah-olah MN sudah tidak ada. Tetapi bersandarkan kepada segala kemungkinan ini, rasanya hanya masa akan menentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan buku bacaan dan topi keledar kepada pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam daerah Padang Terap di sini, hari ini.

Tambahnya, dalam berdepan segala kemungkinan itu, semua pihak harus bersikap dan berfikiran terbuka dalam mendepani setiap perkara yang akan terjadi.

“Berkaitan MN ini, pandangan daripada luar turut diperlukan mengenai kepimpinan UMNO dan PAS.

“Setakat ini tiada kata putus mengenai bagaimana UMNO dan PAS akan berdepan PRU-15. Kalau ada gandingan itu, kita terimalah tetapi kalau tak ada kita nak buat macam mana,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *