MARA menerima sejumlah 57,122 permohonan ke tingkatan 1 dan 17,350 permohonan ke tingkatan 4 untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun depan.
Sehubungan itu kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Mara akan mengadakan Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal mulai 3 Disember ini hingga 30 Januari tahun depan.
‘’Bagi Kedah, Kelantan,Johor dan Terengganu ujian bermula pada 3 Disember ini manakala bagi calon-calon negeri lain akan bermula pada 4 Disember. Tarikh, masa dan tempat ujian ini boleh disemak secara dalam talian bermula esok pukul 10 pagi melalui Portal Rasmi MARA,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Buku dan Topi Keledar Sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap hari ini.
Mahdzir memberitahu pemohon akan menerima notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.
‘’Calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan,’’ katanya.
Menurut Mahdzir, kesemua calon terlibat akan menduduki ujian itu di 61 buah pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 buah MRSM di seluruh negara selain di 8 buah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) di Selangor dan Negeri Sembilan.
‘’Calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.
“Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan yang lengkap menjelang hari peperiksaan dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Sebarang maklumat serta informasi terkini, sila layari portal rasmi Mara di pautan www.mara.gov.my atau mengikuti laman media sosial rasmi Mara melalui Facebook, Instagram dan Twitter.
Leave a Reply