Oleh RIZQI ZABIDI
Kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun di depan Wisma Darul Aman di Alor Setar bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri berhubung langkah untuk tidak lagi mengeluarkan lesen judi selain mengehadkan penjualan arak.
Menerusi himpunan yang dimulakan kira-kira pukul 11.15 pagi itu, kalangan NGO tersebut turut menyampaikan memorandum sokongan kepada wakil Menteri Besar bagi menyuarakan hasrat masing-masing agar kerajaan negeri tidak berganjak dengan keputusan tersebut.
Menurut Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad, kalangan NGO tersebut menyambut baik langkah kerajaan selain bersedia mempertahankan tindakan sekiranya mendapat tentangan daripada mana-mana pihak.
“Sokongan kami cukup padu untuk kerajaan negeri dalam hal ini. Jika kami tidak menyokong, itu bermakna kami reda dengan judi dan arak ini sedangkan dua perkara itu terlalu banyak membawa kerosakan kepada masyakat termasuklah kehancuran rumah tangga.
“Jadi dalam memorandum ini kami tegaskan bahawa kerajaan negeri perlu kekal konsisten dan sama sekali tidak menarik balik keputusan tersebut. Kami mahu Kedah bebas daripada dua kerosakan ini dan harap-harap negeri lain juga dapat menuruti langkah yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Pegawai Khas Menteri Besar, Zulkifli Yahya.
Selain Skuad Badar, antara NGO lain yang turut menyertai himpunan tersebut adalah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Warisan Pendekar Negeri Kedah serta Sirah Malaysia.
Sementara itu Setiausaha Majlis Ayahanda Pekida Malaysia, Datuk Seri Yaacob Hassan berkata, umat Islam di negeri ini sewajarnya memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap langkah tersebut.
“Ini langkah yang perlu diambil bagi memastikan negeri ini terus aman dan makmur. Kami yakin usaha ini mampu membantu rakyat hidup dalam keadaan lebih aman dan damai,” katanya.
Dalam pada itu Zulkifli memaklumkan, langkah kerajaan negeri itu setakat ini mendapat sokongan padu daripada umat Islam dari semua peringkat.
“Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor amat menghargai sokongan tersebut. Meski pun begitu, cabarannya tetap ada dengan beberapa pihak ketika ini sudah mengambil langkah untuk menyaman kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, Muhammad Sanusi bagaimanapun terus konsisten untuk mempertahankan perkara ini dan menegaskan yang beliau sama sekali tidak gentar berdepan saman. Kita harap sokongan sebegini berterusan demi kebaikan semua agar judi dan arak ini dapat dibendung,” katanya.
Leave a Reply