Oleh RIZQI ZABIDI
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah telah melakukan pemeriksaan terhadap 342 pasar awam di negeri ini sejak 1 November lalu bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan mendadak.
Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, pihaknya memandang serius isu kenaikan harga barangan termasuk sayur dan barangan mentah sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu katanya, KPDNHEP telah menggerakkan seramai 172 pegawai penguat kuasa dan 51 pegawai pemantau harga (PPH) di seluruh Kedah bagi memantau serta menangani isu tersebut di pasar awam dan pasar raya.
“Tinjauan harga di pasar raya juga mendapat berlaku kenaikan dan penurunan setiap hari namun tidak melibatkan semua jenis barang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan mengambil keuntungan secara berlebihan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kenaikan harga barang seperti ayam dan sayur berpunca daripada peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import serta kenaikan harga baja dan racun.
Menurutnya, sebahagian besar kos operasi penternakan melibatkan kos makanan dengan hampir 100 peratus diimport dari negara asing seperti jagung dan soya.
“Bagi sayur-sayuran pula, ada dalam kalangan sayur keluaran tempatan yang meningkat harganya kerana kita kini berada pada penghujung tahun. Ketika ini, memang berlaku musim tengkujuh dan harga sayur biasanya akan meningkat.
“Tambahan pula keadaan cuaca tidak menentu dan ketidak seimbangan permintaan dalam pasaran juga menyebabkan harga barangan tersebut naik secara mendadak,” katanya.
Katanya, sepanjang tahun ini KPDNHEP Kedah telah menjalankan pemeriksaan di 69,166 premis di seluruh Kedah yang telah menghasilkan 924 tindakan kes melibatkan pelbagai akta dikuatkuasakan KPDNHEP.
“Nilai rampasan adalah sebanyak RM607,051 manakala jumlah kompaun pula mencecah RM152,600” katanya.
Leave a Reply