PKR PRN Maszlee

Dr. Maszlee akui sertai PKR dalam keadaan parti itu lemah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik hari ini menamatkan spekulasi dan khabar angin apabila beliau secara rasmi mengumumkan penyertaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengumuman itu dilakukan dalam program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan JKKK Kampung Baru Machap, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

Menurut Dr. Maszlee, kemasukan dalam PKR itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana sebelum ini pernah menjadi ahli parti itu bagi Cabang Ampang pada tahun 2017.

“Sementelahan Keadilan berada dalam situasi dan populariti yang tidak begitu menggalakkan pada waktu ini terutamanya selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya terpanggil melakukan sesuatu untuk membawa perubahan.

“Ada yang mengejek mengapa masuk parti kalah, malah presidennya diserang dari pelbagai sudut oleh lawan dan segelintir kawan. Lebih malang ada yang sindir apa ertinya sertai Keadilan ketika mereka sedang lemah dan tidak menjadi pilihan.

“Saya katakan inilah harga sebuah perjuangan (kerana) saya tidak masuk parti untuk mengaut laba keuntungan dan tidak mahu menjadi opurtunis politik yang tukar parti untuk dapat jawatan atau ganjaran,” katanya ketika berucap dalam program itu.

Maszlee sebelum ini merupakan seorang ahli akademik yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Simpang Renggam.

Beliau pernah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun meletak jawatan susulan beberapa kontroversi.

Maszlee dipecat daripada Bersatu pada Mei tahun lalu susulan konflik sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas pada November tahun lalu selepas beberapa bulan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *