Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan parti itu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan pada Disember ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, langkah itu bagi memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar pada PRN Sarawak sekali gus menyapu bersih semuau 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Bekas Perdana Menteri itu yakin GPS mempunyai kekuatan sendiri dan keputusan tersebut juga diambil Bersatu kerana menghormati GPS.
“Kita juga telah berbincang di peringkat Bersatu bahawa kita tidak akan bertanding kerana kita hendak memastikan parti yang sudah ada di Sarawak itu menang dengan cemerlang dan itu juga hasrat pimpinan GPS.
“Walaupun kita ada tempat tertentu yang parti percaya kita boleh menang, tetapi pandangan daripada pihak GPS perlu dihormati dan saya percaya GPS juga mempunyai kekuatannya tersendiri,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, Pagoh, hari ini.
Muhyiddin tidak menolak kemungkinan GPS bekerjasama dengan parti-parti komponen PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Pandangan daripada pihak GPS adalah kerusi sedia ada dikekalkan, cuma di peringkat PRU15 nanti ada gambaran yang mengatakan mungkin GPS akan memberi pertimbangan dimana parti lain boleh bersama mereka termasuk PN.
“Apapun kita tetap menghormati pandangan mereka dan atas dasar itu, jentera parti kita yang berada di sana akan tolong membantu untuk pastikan GPS capai kemenangan besar,” katanya.
Leave a Reply