KEMENTERIAN Kesihatan berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika ini, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
Katanya, ia berikutan kemasukan pesakit ke hospital semakin meningkat selain kes COVID-19 yang membimbangkan dan kemunculan varian baharu Covid-19 dalam negara.
“Saya rasa kalau diadakan pilihan raya pada waktu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” katanya di sidang media di ibu pejabat KKM pada Jumaat bagi menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan perlu diadakan PRU15 dengan segera.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Khairy berkata, beberapa siri perbincangan dan libat urus telah diadakan antara KKM dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berhubung perkara itu.
“Mereka telah mengemukakan beberapa permintaan yang sedikit berbeza daripada PRN Melaka, contohnya ada kawasan di Sarawak tiada capaian internet dan ia menyukarkan untuk calon melaksanakan kempen di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang ditugaskan untuk perkara berkaitan SOP dan ia akan dimuktamadkan pada 30 November, kemudiannya diusulkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.
SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember, manakala hari pengundian awal pada 14 Disember.
Ketika ditanya mengenai situasi Covid-19 berkaitan PRN Melaka, beliau berkata kebiasaannya jika diadakan program atau perhimpunan besar, kesannya dapat dilihat dalam 10 hari selepas program diadakan.
“PRN Melaka baru sahaja selesai, kita mungkin tunggu beberapa hari lagi sebelum kita melihat sekiranya ada trend kenaikan mendadak,” katanya. – Bernama
Leave a Reply