Muhyiddin tidak pernah impikan jadi Perdana Menteri

TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengimpikan beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri yang seterusnya memulihkan krisis pandemik COVID-19 yang dihadapi negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sejarah hidupnya bermula sebagai pemuda biasa dan dibentuk dari awal oleh keluarga yang kuat pegangan agama dan mengamalkan kehidupan yang amat sederhana.

Muhyiddin menambah, almarhum ayahandanya seorang guru agama dan beliau banyak membentuk keperibadiannya dan adik beradik yang lain dengan didikan agama.

“Kami mungkin miskin harta tetapi kaya dengan ilmu dan adab serta budi pekerti yang terbentuk hasil didikan ayahanda dan bonda yang amat menitik beratkan akhlak yang mulia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Abah Teguh Kita Bersama’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, pada zaman kanak-kanak, beliau menjalani kehidupan biasa yang kadang-kadang terpaksa melalui zaman yang agak sukar kerana keluarganya bukan golongan yang berada.

Seperti ramai yang lain, katanya, beliau juga pernah merasai kesukaran hidup di kampung yang serba kekurangan.

“Kami kadang-kadang bergantung kepada hasil tumbuhan dan tanaman yang ada di sekeliling rumah untuk dijadikan makanan.

“Ujian getir ini mencorak kehidupan saya yang sederhana dan memperkukuhkan lagi keimanan saya kepada Tuhan dan penghormatan saya kepada alam ciptaan-Nya,” jelasnya.

Mengimbau kembali, Muhyiddin berkata, perjalanannya sehingga bergelar Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana banyak liku dan jatuh bangun yang saya lalui dalam perjuangan menegakkan prinsip dan hak.

“Saya hadapi semua dugaan dan cabaran ini atas kesedaran bahawa hidup kita ini hanya sementara. Ia suatu ujian dalam perjalanan kita menuju negeri abadi.

“Sebagai seorang Islam, yang penting dalam kehidupan di dunia yang fana ini ialah kita mesti lakukan perkara yang betul, iaitu perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atas kita,” ujarnya.

Beliau turut menghargai didikan dan asuhan ibu bapanya serta sokongan dan dorongan daripada seluruh kelurga teruamanya isteri, anak-anak dan adik beradik yang sentiasa bersama-samanya ketika susah dan senang.

“Sebagai seorang insan, saya pastinya ada banyak kelemahan dan kekurangan. Tetapi berkat sokongan dan pengorbanan ahli keluarga serta sahabat handai, Alhamdulillah saya diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan saya.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada mereka semua,” katanya.

Muhyiddin juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon dan pasukan penulis buku biografi bergambar ‘Abah Teguh Kita Bersama’ atas usaha yang dilakukan untuk menghasilkan buku tersebut.

“Mudah-mudahan buku ini yang merakamkan sejarah perjalanan hidup saya secara bergambar akan memberikan manfaat kepada semua pembaca,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *