Malaysia harap ASEAN terus perkukuh kerjasama pembangunan luar bandar, basmi kemiskinan

MALAYSIA berharap kerjasama dalam bidang pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan dalam  kalangan negara ASEAN akan terus diperkukuh pada masa akan datang dengan pelaksanaan aktiviti berimpak tinggi termasuklah dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) dan pihak swasta.

Perkara itu antara yang ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (I) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Ke-12 (12th AMRDPE) secara talian hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri / Timbalan Menteri yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan negara-negara ASEAN

Selain itu dalam ucapannya Abdul Rahman yang mewakili Malaysia  turut menekankan mengenai peranan pembangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam memacu pembangunan luar bandar pasca COVID-19.

Beliau berkata, penekanan akan diberikan untuk memulihkan semula aktiviti ekonomi luar bandar yang terjejas teruk akibat langkah-langkah yang telah diambil untuk mengekang penyebaran wabak COVID-19.

‘’Selain itu, perhatian juga akan diberikan untuk memperkukuh kepimpinan kampung serta pembangunan belia dan wanita luar bandar bagi meningkatkan keterlibatan dalam perancangan dan pembangunan kampung masing-masing,’’ katanya.

Mesyuarat tersebut yang  dipengerusikan oleh Filipina merupakan susulan daripada Mesyuarat Pegawai Kanan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Ke-18 dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Campur Tiga Ke-14) yang diadakan Selasa dan Rabu lalu.

Tema mesyuarat kali ini ialah “Accelerating Recovery and Strengthening Resiliency of ASEAN for Sustainable Rural Development and Poverty Eradication” yang memberi penekanan kepada usaha-usaha bagi mempercepat pembangunan semula kawasan luar bandar dan peningkatan langkah-langkah pembasmian kemiskinan pasca COVID-19.

Mesyuarat 12th AMRDPE tersebut  

Mesyuarat juga antara lain telah membincangkan mengenai Kerangka Pelan Tindakan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Tahun 2021 hingga 2025 dan pembangunan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar ASEAN.

Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Ke-13 dijangka diadakan di Singapura pada tahun 2023.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *