Izinkan Sulaiman tadbir Melaka dengan cara sendiri

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SUDAH hampir seminggu Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka. Bukan sedikit mandat yang diterima namun kemenangan dua pertiga itu menjadikan Melaka antara negeri kukuh dan stabil dari segi pentadbiran kerajaan negerinya.

Dengan kemenangan itu termasuk merampas semula beberapa kerusi yang hilang seperti Duyong, Kelebang dan Gadek, sudah pasti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak ada masalah sokongan untuk mengetuai dan menduduki kerusi Ketua Menteri.

Sokongan itu bukan sekadar dari segi jumlah kerusi kerajaan yang dibentuk antara UMNO, MCA dan MIC tetapi lebih penting Sulaiman perlukan sokongan dan ruang untuk beliau mencorak perjalanan negeri Melaka mengikut acuan tersendiri.

Kelayakan beliau sudah teruji ketika dilantik sebagai Ketua Menteri selama 18 bulan sebelum ini. Walaupun ada pelbagai cakap-cakap dan gosip di belakang ketika itu, Sulaiman tetap tenang dan tidak melatah serta menjalankan tugasnya seperti biasa.

Maka sewajarnya Sulaiman diberikan peluang untuk membuktikan segala dakwaan termasuk dibayangi individu tertentu sebelum ini tidak benar. Pelbagai faktor yang memungkinkan BN menang tempoh hari, salah satunya sudah tentu kerana wajah Sulaiman yang diangkat sebagai ‘poster boy’ semasa kempen.

Dari segi kemenangan beliau di Lendu pun nampak peningkatan yang ketara apabila meraih 3,104 majoriti jauh meninggalkan dua pencabarnya berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang hanya menang dengan kelebihan 627 undi.

Dalam hal ini, Sulaiman berhak menentukan pasukan Exco beliau yang tersendiri dengan gabungan muka lama dan baru untuk memastikan segala manifesto yang dijanjikan akan diadaptasi kepada pelaksanaan.

Isu tiada Exco bukan Melayu dalam pimpinan Sulaiman sebelum ini juga sudah boleh diatasi dengan kemenangan ADUN Gadek, VP Shanmugam, selain dua kerusi disumbang MCA menerusi Datuk Lim Ban Hong (Kelebang) dan Ngwe Hee Sem (Machap Jaya).

Hendak memuaskan hati semua pihak memang sukar tetapi Sulaiman tahu siapa yang boleh dilantik mengetuai portfolio-portfolio penting di Melaka yang dikhabarkan majlis pelantikan Exco akan berlangsung hari ini di Istana Melaka.

Seperkara lagi yang menarik perhatian adalah konsep parti menguasai kerajaan. Jika diambil kira perkara itu sudah menjadi tradisi jawatan tertinggi dalam parti di sesebuah negeri akan menguruskan parti dan kerajaan pada masa sama.

Ini bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan. Maka dalam hal ini, Sulaiman dilihat tidak ada masalah untuk turut mengepalai partinya di Melaka berbekalkan pengalaman yang ada ketika mentadbir kerajaan negeri selama ini.

Rakyat sudah menaruh kepercayaan terhadap Sulaiman dan BN di Melaka, sewajarnya ahli UMNO dan pimpinan parti turut meletak kepercayaan mereka kepada Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri itu ke kedudukan lebih tinggi.

Dengan cara itu, ia secara tidak langsung dapat menghapus dakwaan Sulaiman dibayangi individu tertentu sehingga kononnya berlaku perubahan keputusan dalam perkara tertentu setiap kali mesyuarat Exco seperti didakwa seorang bekas Exco sebelum ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *