Bersatu cari pengganti Mohd. Rafiq – Hamzah

BERSATU akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk mencari pengganti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka selepas Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menerima keputusan yang telah dibuat dan menzahirkan penghargaan ke atas jasa Mohd Rafiq selama memegang jawatan tersebut.

“Terima kasih kami ucapkan kepada Mohd. Rafiq. Kami baru terima pengumuman mengenai peletakan jawatannya pada hari ini.  Kami akan buat keputusan tidak lama lagi, dan ia akan diumumkan selepas dipersetujui Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Ahli Parlimen Larut itu sewaktu merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Larut 2021, hari ini.

Mohd. Rafiq mengumumkan peletakan jawatan tersebut hari ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu selain memberi tumpuan untuk memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

Ditanya mengenai post-mortem Bersatu yang gagal mempertahankan kerusi disandang mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hamzah berkata, pihaknya akan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti selain membuat analisa sokongan terhadap calon-calon yang telah dipilih.
 
“Semalam ada bincang dalam mesyuarat. Analisa awal adalah kami ada sokongan yang tinggi mencecah 77,000 sokongan walaupun kami parti baharu. Ini agak baik kerana kami pertama kali letak calon. Kami juga akan perbaiki kelemahan yang kami kenal pasti,” katanya.

Pada PRN Melaka yang melabuh tirainya Sabtu lepas, Bersatu hanya memenangi dua dari 15 kerusi ditandingi parti tersebut iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban melalui Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Sungai Udang melalui Dr Mohd Aleef Yusof.

Ditanya mengenai kedudukan dua kerusi tersebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka kelak, Hamzah berkata, setakat ini pihaknya belum memberikan arahan dan hal ini akan ditentukan Speaker DUN kelak. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *