“Akhirnya, saya akan pulang”, pastinya ungkapan itu bermain di minda kebanyakan rakyat Malaysia di Singapura termasuk Wan Muhammad Fazlan Nordin, 28, selepas berjaya mendapatkan tiket bas di bawah skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) yang diumumkan pada Rabu.
Skim VTL-Land yang bermula Isnin depan (29 Nov) membolehkan orang ramai yang lengkap vaksin COVID-19 melakukan perjalanan rentas sempadan dengan menaiki bas tanpa perlu menjalani kuarantin.
Mereka yang memilih skim VTL-Land hanya boleh melakukan perjalanan melalui perkhidmatan bas disediakan dua pengendali bas – Transtar Travel Pte Ltd dan Handal Indah Sdn Bhd (juga dikenali sebagai Causeway Link) – dengan tiket dijual untuk tempoh perjalanan selama 30 hari.
Sebanyak 32 perkhidmatan bas disediakan setiap hari dengan kapasiti maksimum 45 penumpang bagi setiap perjalanan, bermakna terdapat 1,440 penumpang sehala atau 2,900 secara keseluruhan.
Wan Muhammad Fazlan yang tidak pulang ke Malaysia sejak bermulanya pandemik COVID-19 awal tahun lepas, adalah antara individu terawal mendapatkan tiket bas yang hanya dijual dalam masa kurang 30 minit.
Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Perunding Sumber Manusia berusia 28 tahun itu berkata, dia duduk di hadapan komputer riba seawal 7 pagi sebelum ‘beratur’ dalam talian untuk mendapatkan tiket yang dijual bermula 8 pagi.
“Pada 7.50 pagi saya cuba layari laman sesawang Causeway Link dan terpaksa menunggu. Saya ambil keputusan beralih ke laman sesawang Transtar Travel. Selepas memilih tarikh perjalanan, buat bayaran dan tekan butang ‘enter’, jantung saya mula berdegup apabila membaca pemberitahuan ‘pembayaran tidak berjaya’.
“Pada awalnya rasa sangat kecewa…tetapi pada 8.13 pagi saya dapat pesanan bayaran telah berjaya…Alhamdulillah saya dapat tiket untuk perjalanan ke Johor Bahru bertarikh 24 Dis.
“Saya sangat excited.. sangat gembira untuk bertemu keluarga selepas hampir dua tahun tak balik. Saya adalah antara rakyat Malaysia yang tidak balik langsung sejak pintu sempadan ditutup. Jadi ini baru pertama kali balik… happy sangat,” katanya.
Wan Muhammad Fazlan, antara ribuan rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura selepas sempadan ditutup untuk membendung COVID-19 dan teruja untuk pulang ke tanah air bertemu ahli keluarga.
Beliau menasihatkan kepada yang berjaya mendapatkan tiket untuk menjaga diri dan kepada yang tidak berjaya jangan putus asa.
“Sabar, insya-Allah, ini adalah permulaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura untuk mula berulang-alik,” katanya. – Bernama
Leave a Reply