KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Noember lalu memberikan Perikatan Nasional (PN) lebih motivasi susulan sokongan padu yang diterima gabungan itu daripada penjawat awam.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, walaupun hanya memenangi dua kerusi namun “post mortem” awal dengan parti komponennya memberikan mereka beberapa alasan untuk meraikannya.
‘’“Kami mendapati terdapat peningkatan dari segi sokongan kepada PN dan itu memberikan kami lebih motivasi,” katanya lapor portal Free Malaysia Today.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemegang taruh industri keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hamzah berkata, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, adalah penting mencari jalan untuk mengelakkan lebih banyak pertembungan yang boleh menyebabkan perpecahan lebih besar dalam negara.
“Itu bagi saya lebih penting daripada perkara lain,” katanya.
Beliau berkata, PN telah melibatkan beberapa organisasi untuk menghasilkan analisis mendalam mengenai prestasi gabungan itu di Melaka yang akan didedahkan kemudian.
Mengulas siasatan polis terhadap ucapan dibuat di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman mengenai kebimbangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan desakan pemisahan Sabah, Hamzah berkata, Ahli Parlimen Warisan itu tidak sepatutnya menyentuh isu yang tidak menyumbang kepada pembinaan negara bangsa.
“Orang ramai tidak boleh bercakap tentang isu sebegini hanya untuk suka-suka. Jika mereka bercakap sesuatu, ia sepatutnya membantu atau menyelesaikan masalah atau cadangan bagaimana rakyat boleh hidup aman dan harmoni,” katanya.
“Tetapi jika mereka mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan rakyat, sudah tentu kita akan mengambil tindakan.”
Leave a Reply