Oleh RIZQI ZABIDI
POLIS kini membuka siasatan terhadap pemilik akaun Instagram ‘datosrig’ berhubung muat naik artikel dan poster berkaitan satu program yang tidak tidak wujud dalam laman media sosial tersebut melibatkan Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati poster dan artikel tersebut turut memaparkan nama serta gambar kerabat diraja Kedah, Tunku Nur Muhammad Ibni Almarhum YTM Lt. Kol. Tunku Adnan serta Pengerusi Agro Kedah, Datuk Wan Zulkifli.
“Turut dimuat naik bersama poster itu adalah artikel mengenai ‘Program Presiden Agro Malaysia Turun Padang Jumpa Usahawan Agro di Sungai Petani’ pada 25 November 2021.
“Semakan dibuat melalui pihak berkaitan mendapati program tersebut adalah tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, antara pengisian program tersebut kononnya adalah majlis penanaman pokok, pembukaan restoran dan majlis penyerahan bantuan bakul makanan Agro Malaysia.
“Kami menafikan penglibatan Ketua Polis Kedah dalam program tersebut. Mereka yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dalam masa terdekat bagi dirakam percakapan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihati supaya jangan mudah terpengaruh dan percaya dengan apa-apa program yang dianjurkan sebelum membuat semakan dengan pihak berkenaan.
Leave a Reply