Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
POLIS memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab sama adamenyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, itu merujuk kepada kenyataan yang tular dalam media sosial berhubung kemungkinan rakyat Singapura akan diragut di Johor Bahru apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka.
Tegasnya, polis Johor menafikan perkara tersebut malah perkembangan terkini juga menunjukkan indeks jenyah di negeri ini menurun.
Beliau berkata secara keseluruhan, indeks jenayah di Johor bagi tempoh Januari 2021 hingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak 2,610 kes iaitu 39.67 peratus dan berada dalam keadaan terkawal.
“Kes samun ragut di Johor bagi tempoh sama juga mencatatkan penurunan sebanyak 125 kes bersamaan 77.64 peratus berbanding tahun lepas. Begitu juga kes curi motosikal yang menurun sebanyak 1,099 kes iaitu 51.05 peratus,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menerusi kenyataan yang tular itu, mendakwa terdapat beratus-ratus pencuri yang menaiki motosikal di daerah ini bersedia untuk meragut pelancong dari Singapura apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula.
Selain itu kenyataan itu mendakwa polis tidak akan mengambil tindakan berikutan terdapat terlalu banyak pencuri di Johor.
Namun pihaknya akan terus bertindak secara agresif bagi membanteras kegiatan jenayah sekali gus memastikan Johor selamat didiami dan dikunjungi.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa jua perkara yang ditularkan dan perlu menyemak terlebih dahulu bagi mendapatkan kesahihan maklumat.
Leave a Reply