PERSATUAN Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) menerusi Mesyuarat Agung Ke-36 di Batu Maung hari ini sekali lagi meluluskan resolusi menolak sebarang projek tambakan laut di negeri itu yang akan mengancam mata pencarian kira-kira 6,000 golongan berkenaan.
Bantahan itu termasuk bagi projek tambak laut untuk membentuk tiga buah pulau buatan (PSR) seluas 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut dan tambakan laut dari Bagan Ajam ke Telok Air Tawar seluas 407 hektar dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Pengerusi Pen Mutiara, Mahadi Md. Rodzi berkata, resolusi itu yang diputuskan secara rasmi menerusi mesyuarat agung sekali gus menjelaskan mana-mana pandangan nelayan Pulau Pinang yang didakwa menyokong projek tambak laut khususnya PSR sebelum ini bukan mewakili suara atau pendirian komuniti nelayan negeri itu.
“Resolusi menerusi mesyuarat agung ini adalah jelas merupakan suara akar umbi khususnya nelayan di unit-unit atau kawasan nelayan yang bakal terjejas secara langsung dengan rancangan projek tambakan laut di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung itu di sini hari ini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membatalkan kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek PSR.
Keputusan itu berikutan Lembaga Rayuan JAS pada September lalu membuat keputusan mengetepikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan sekali gus menyebabkan kelulusan yang diperoleh bagi projek itu pada 25 Jun 2019 terbatal dan tidak lagi sah.
Dalam perkembangan lain, Mahadi berkata, mesyuarat agung Pen Mutiara hari ini turut meluluskan resolusi membantah rancangan pembangunan jeti pendaratan tuna di Batu Maung sekiranya melibatkan pengambilalihan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Menurut beliau, pihaknya difahamkan projek itu kini dalam perancangan untuk dibangunkan oleh pihak swasta dan bakal melibatkan tanah seluas kira-kira tiga hektar di Batu Maung di sini.
Jelas beliau, pihaknya tidak membantah projek pembangunan itu tetapi perlu dipastikan tidak melibatkan pengambilalihan tanah milik LKIM yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan nelayan.
“Apa yang menjadi kebimbangan kita sekiranya projek ini yang pernah dirancang pada 2006 sekali lagi gagal sedangkan tanah milik LKIM seluas lapan hektar ketika itu telah tergadai,” katanya.
Ujar beliau, pihaknya telah menyerahkan bantahan projek itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada November lalu dan berharap mendapat perhatian serta sokongan daripada Kerajaan Pusat.
“Sama seperti bantahan terhadap projek tambakan laut, komuniti nelayan Pulau Pinang juga sedia berhadapan apa jua kemungkinan dalam mempertahankan hak kami dalam isu pembinaan jeti ikan tuna ini,” katanya.
Leave a Reply