PELAKSANAAN Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik akan dilaksanakan sebelum 31 Dis ini, manakala perundangan berhubung antilompat parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri dicadang dibawa ke Parlimen sebelum Julai 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian bagi menjelaskan status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 Sept lepas.
Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik itu berdasarkan keputusan Jemaah Menteri serta Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 Sept.
“Bagi Undi 18 kita tidak ada pilihan, rang undang-undang ini mesti dilaksanakan sebelum tamatnya persidangan ini, oleh kerana hakim telah menetapkan, kalau kita tidak melaksanakan maknanya Perdana Menteri, kerajaan Malaysia akan (dianggap) menghina mahkamah,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Junaidi berkata bagi perundangan antilompat parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri, ia memerlukan kajian dan sesi libat urus yang terperinci dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata satu perjumpaan akan diadakan bersama ketua parti pada bulan depan untuk mendapat pandangan berkaitan cadangan undang-undang antilompat parti serta untuk memaklumkan pendirian kerajaan berkaitan undang-undang itu.
Mengenai pembaharuan Parlimen (Parliamentary Reform), beliau berkata Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2022 dan Rang Undang-Undang Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022 dijangka dibentang semasa Mesyuarat Pertama pada Mac 2022.
Selain itu, berhubung pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan dan Jawatankuasa Pilihan Khas mengadakan mesyuarat secara terbuka dan hibrid, Wan Junaidi berkata satu Memorandum Jemaah Menteri disediakan dan sedang dalam proses mendapatkan ulasan daripada pihak berkaitan.
Ini termasuk daripada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Kerajaan dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.
Berhubung pindaan Perlembagaan bagi perkara-perkara di bawah bidang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berkata bacaan pertama Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat dibuat pada 3 Nov dengan bacaan kali kedua dijadual bulan depan.
Katanya, kerajaan juga komited dalam memastikan kebebasan badan kehakiman serta transformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik. – BERNAMA
Leave a Reply