Oleh RAHIMI MOHAMAD
SELEPAS hampir dua tahun jemaah yang menunaikan solat di masjid dan surau perlu mengamalkan penjarakan ekoran pandemik Covid-19, jemaah di Johor mungkin dapat merapatkan saf semula seperti sedia kala seawal tahun depan.
Ini berikutan negeri itu sudah bersedia untuk membenarkan jemaah merapatkan saf ketika solat berjemaah di masjid dan surau seperti sebelum wabak tersebut serta tidak lagi perlu melakukan penjarakan fizikal.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, cadangan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mendapatkan perkenan Baginda pada minggu depan.
Beliau berkata, satu mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor akan diadakan bagi melengkapkan kertas cadangan tersebut sebelum dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim.
“Ramai yang bertanyakan bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu sebelum penularan Covid-19 setelah Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Oleh itu, kita akan perincikan kertas cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu solat jemaah di masjid dan surau pada minggu depan sebelum dipersembahkan kepada Tuanku Sultan.
“Diharap tatacara SOP baharu solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini tanpa penjarakan fizikal akan diperkenalkan pada awal Januari depan setelah diperkenan Sultan Johor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Tosrin, dua cadangan yang akan diketengahkan dalam kertas cadangan itu adalah solat jemaah dengan kapasiti penuh di masjid dan surau tanpa penjarakan sosial dan solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial.
Kata beliau, pihaknya juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mempersembahkan cadangan berkenaan kepada Sultan Johor.
Pada bulan lalu, kerajaan negeri membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri itu dilaksana dengan mengikut had satu pertiga daripada kapasiti masjid atau surau.
Sementara itu, Tosrin berkata, cadangan pengenalan SOP baharu solat berjemaah tanpa penjarakan sosial itu bagaimanapun tertakluk kepada situasi Covid-19 semasa di negeri tersebut.
“Buat masa ini, jemaah perlu mematuhi SOP sedia ada seperti perlu lengkap dua dos vaksin selain kita akan memastikan semua pegawai masjid dan surau yang terdiri daripada imam, bilal dan noja sudah lengkap divaksin,” katanya.
Leave a Reply