Oleh RIZQI ZABIDI
Setiap kali melihat kereta api melalui landasan di depan rumahnya, hati seorang remaja perempuan, Aziana Shaari, 17, sentiasa bergejolak untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam pengangkutan awam itu sambil menikmati keindahan di sepanjang perjalanannya.
Namun keterbatasan yang ada pada dirinya menyebabkan hasrat itu terpaksa dipendam sejak sekian lama. Sementelah dirinya hanya mampu terlantar di katil akibat tulang belakang yang hancur kerana dihempap dinding konkrit ketika berusia sembilan tahun, ibu Aziana sendiri, Fatimah Hashim, 49 merasakan seolah-olah impian tersebut hampir mustahil untuk dilaksanakan.
Namun hari ini impian tersebut akhirnya tercapai apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil inisiatif menyediakan sebuah tren khas bagi menunaikan hasrat remaja tersebut untuk menikmati perjalanan dari Stesen Sungai Petani ke Butterworth sebelum berpatah balik ke Sungai Petani.
Menurut Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir, inisiatif tersebut dibuat sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam memenuhi impian remaja berkenaan.
“Sebelum ini kami memang memikirkan untuk membawa Aziana menaiki kereta api menggunakan kerusi roda namun apabila pertimbangan dibuat, langkah itu dilihat agak menyukarkan buat Aziana,” katanya.
“Justeru pihak pengurusan bersetuju menyediakan tren khas agar Aziana dapat menaikinya bersekali dengan katil yang boleh ditolak,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas turut serta mengiringi perjalanan Aziana bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTMB, Mohd. Rani Hisham Shamsuddin, hari ini.
Selain menunaikan hasrat remaja itu, KTMB turut menyampaikan sumbangan berupa pek susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan remaja itu.
Layanan diterima Aziana nyata cukup istimewa apabila tren tersebut turut berenti sebentar di lokasi kediamannya di Bakar Bata, di mana kalangan penduduk kampung turut berdiri berhampiran landasan bagi melambai kepadanya.
Sementara itu, Aziana ketika ditemui pemberita nyata tidak mampu banyak bercakap bagi menyatakan perasaannya diberi peluang merasai pengalaman istimewa tersebut selain mengungkapkan rasa seronok.
Manakala Fatimah yang merupakan seorang ibu tunggal pula tidak henti-henti menyatakan rasa terima kasih kepada KTMB serta semua pihak yang terlibat untuk menunaikan impian anak bongsunya itu.
“Impian Aziana untuk menaiki kereta api ini sudah dinyatakan sejak dia mula-mula sakit lagi. Namun melihat kepada keadaannya, memang susah untuk saya tunaikan hasratnya.
“Apa yang boleh saya lakukan hanya menolaknya ke bawah pokok di depan rumah dan menanti kereta api lalu untuk dia melihat kenderaan awam itu. Namun hari ini saya amat gembira kerana impiannya menjadi kenyataan,” katanya.
Selain tulang belakang yang hancur, kemalangan melibatkan dinding konkrit itu turut menyebabkan buah pinggang Aziana rosak, usus tidak berfungsi selain tidak mempunyai rasa dari paras pinggang hingga kaki.
Fatimah boleh dihubungi di talian 014-3148891 atau bagi yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0230-0290-0058-8382 (Fatimah Hashim).
Leave a Reply