SELAMBA guna kotak roti bertanda halal sedangkan tidak pernah memohon sijil halal daripada pihak berkuasa berkaitan.
Lebih menjijikkan, najis tikus turut dijumpai di atas plastik membungkus roti manakala sisa minyak yang telah digunakan menitik ke atas roti yang baharu dimasak.
Itu antara keadaan yang dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang membuat roti di Jalan Kedah, Georgetown, Pulau Pinang dalam pemeriksaan awal pagi ini.
Sehubungan itu, kilang yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu diarah tutup dua minggu kerana tidak menepati standard keselamatan dan kualiti makanan di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan yang boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang roti itu pernah diberikan amaran tahun lalu kerana isu kebersihan dan keselamatan yang sama.
“Namun, dalam pemeriksaan sekali lagi hari ini kita dapati keadaan kebersihan di kilang ini tidak memuaskan dan arahan penutupan selama dua minggu bagi kerja-kerja pembersihan telah dikeluarkan.
“Selain itu, pemilik kilang itu juga diarahkan untuk membuang kesemua plastik bungkusan roti itu yang dicemari najis tikus kerana boleh memudaratkan kesihatan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.
Sementara itu dalam satu lagi pemeriksaan di kedai pembuatan mi di Jalan Pintal Tali, Georgetown, kedai yang sudah beroperasi sejak 80 tahun lalu itu turut diarahkan tutup dua minggu kerana kesalahan membabitkan keselamatan dan kebersihan makanan.
Mohd. Wazir berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pemiliknya didapati meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai selain produk keluarannya tidak mempunyai label.
Ujarnya, kedai yang sama juga pernah diserbu tahun lalu dan pemiliknya diberi amaran supaya meningkatkan mutu kebersihan dan keselamatan makanan, namun didapati masih mengabaikan aspek itu kali ini.
“Tindakan ke atas kedua-dua premis itu dibuat dibawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang mana kita turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 terhadap pemilik kedua-dua premis,” katanya.
Leave a Reply