Oleh RAHIMI MOHAMAD
MESKIPUN mengetahui pihak berkuasa Malaysia melakukan kawalan ketat serta operasi khas mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), seramai 14 individu dipercayai warga Indonesia tetap mencuba untuk melepasi negara ini melalui jalan tikus.
Bagaimanapun, kehadiran mereka yang berusia antara 20 hingga 45 tahun itu tidak berjaya apabila dicekup Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan pantai berhampiran Teluk Punggai di Kota Tinggi, di sini.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu ditahan dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).
Kata kenyataan itu, pergerakan PATI tersebut berjaya dikesan pada pukul 2 pagi selepas Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai.
“Sekitar pukul 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai.
“Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 4.40 pagi telah berjaya menahan dan membuat tangkapan ke atas sembilan PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambahnya, Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama tim Drone Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) kemudian telah diatur gerak bagi membuat penjejakan untuk mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi.
Hasilnya, sekitar pukul 9 pagi hari sama, Tim QRF telah berjaya menangkap lima lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama yang dipercayai saki baki mereka yang baru tiba ke negara ini.
“Kesemua mereka telah menjalani saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang dan hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,063 melibatkan matawang Malaysia RM1,635.00, Indonesia IDR 10,338,330 (RM 3,048.00) bersama 11 buah telefon bimbit serta barangan kemas,” katanya.
Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas dan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
Tambahnya pasukan kemudian meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron BSPP serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.
Leave a Reply