KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan jadual berkaitan hukuman tindakan disiplin yang dilarang dilakukan kepada murid.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya tidak pernah membuat kenyataan berkaitan bentuk hukuman terhadap pelajar sekolah.
“Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang mengeluarkan kenyataan berkenaan. KPM tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk ‘Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang’ dalam mana-mana dokumen rasmi kementerian.
“Sama-sama kita semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai bentuk hukuman yang dilarang dilakukan terhadap fizikal, mental dan emosi pelajar.
Sambil merujuk berita tular bertajuk ‘Gempar!! Bermula esok guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid’’ yang mengaitkan namanya, Radzi berkata, portal itu meletakkan gambar beliau seolah-olah beliau yang mengeluarkan kenyataan tersebut.
Sementara itu, KPM dalam kenyataan memberitahu, tindakan disiplin hanya boleh dikenakan mengikut tatacara pengurusan disiplin dikeluarkan oleh kementerian itu.
“Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959; Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran; SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah.
“Selain itu adalah SPI Bil 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin; SPI Bil 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan SPI Bil 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.
“Sehubungan itu, KPM menegaskan tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan,” kata kenyataan tersebut.
Leave a Reply