SEORANG pemilik sawah terkejut apabila menemukan mayat bayi perempuan dalam keadaan membengkak dan membusuk di kawasan sawah berdekatan lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri di Bagan Serai, semalam.
Bayi berkenaan yang dipercayai dibuang di situ ditemukan pemilik tanah berkenaan sekitar pukul 8.30 pagi dalam keadaan tidak berbaju yang dianggarkan berusia lebih kurang sembilan bulan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen atau kain balutan berkaitan kes itu.
“Status hidup atau mati semasa dilahirkan tidak dapat dipastikan kerana organ dalaman mayat bayi berkenaan telah hancur.
“Setakat ini punca kematian bayi tidak dapat dipastikan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kali terakhir pemilik tanah melalui kawasan itu kelmarin sekitar jam 4.30 petang untuk menjalankan kerja membaja, tetapi masih belum terlihat mayat bayi tersebut.
“Mayat bayi telah di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat,” katanya.
Leave a Reply