Dua rumah setinggan jadi makmal proses pelbagai jenis dadah

POLIS berjaya membongkar kegiatan sindiket dadah yang memproses dan membungkus dadah di kawasan setinggan berhampiran lebuh raya di Kuala Lumpur selepas melakukan serbuan baru-baru ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melancarkan serbuan di dua lokasi di rumah setinggan yang dijadikan sebagai makmal pemprosesan bahan haram itu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, operasi terancang itu bermula 2.30 petang pada 17 November lalu bagi membanteras kegiatan memproses dan membungkus dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang dipercayai untuk edaran pasaran tempatan.

“Serbuan pertama di Batu 3 1/2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan tiga lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 38 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 58 kilogram (kg) dadah disyaki ganja, 11 kg heroin gred tiga, 181 gram heroin gred empat, 2.6 kg methamphetamine dan 50 kg kafein bersama peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Yahaya berkata, serbuan kedua pula di Kampung Udara dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 21 serta 25 tahun.

“Warga asing yang ditahan itu positif syabu yang mana nilai rampasan dadah adalah RM419,920.

“Kita turut menyita tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Perodua Alza dan Perodua Bezza. Mereka ini aktif sejak Julai lalu,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan sindiket itu memilih lokasi berkenaan sebagai makmal bagi mengelak dikesan dan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Semua suspek direman seminggu bermula 18 November lalu hingga esok dan akan disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *