SEORANG dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali jambatan kedua Pulau Pinang di Kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung pagi tadi.
Mangsa, Chow Yarn Wai, 39, dipercayai dari Kuala Lumpur turut meninggalkan kereta jenis Toyota Prius bersama barangan peribadi di atas jambatan itu dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu dari Pusat Kawalan Trafik Jambatan Kedua Pulau Pinang awal pagi ini.
Sehubungan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat segera diaktifkan ke lokasi kejadia melibatkan bot PENGGALANG 12 dan KILAT 4.
Jelasnya, operasi dengan keluasan pencarian 22.42 batu nautika persegi itu turut melibatkan bantuan agensi penyelamat lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pangkalan hadapan carilamat (PHC) turut ditubuhkan berhampiran jambatan kedua dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, Maritim Malaysia memandang serius kes sebegitu dan berharap masyarakat tidak mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan membuat keputusan yang terburu-buru.
Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi pihak Maritim Malaysia dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang: 04-2626146.
Leave a Reply