SEORANG peniaga kedai runcit nyaris maut selepas bahagian belakang rumahnya di tebing Sungai Kemasin di Kampung Kuau, di Kelantan runtuh dalam kejadian yang berlaku hari ini.
Hamzah Jusoh, 53, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika beliau sedang mengemas bahagian belakang rumahnya itu.
“Mula-mula saya nampak rekahan di simen di bahagian belakang rumah. Kemudian sedikit demi sedikit tanah tebing mulai runtuh ke dalam Sungai Kemasin.
“Saya segera masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Sebuah basikal serta beberapa lagi barangan tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Hamzah berkata anggota bomba yang melawat lokasi kejadian menasihatkan supaya beliau, isteri dan anak-anaknya mengosongkan rumah itu, yang turut dijadikan kedai runcit itu buat sementara waktu.
“Bomba beritahu tiga hingga empat bulan kena kosongkan rumah ini. Jadi kami sekeluarga dibantu penduduk kampung memindahkan barangan ke rumah adik saya yang terletak berhampiran,” katanya.
Menurut Hamzah selain kediamannya, sebuah rumah jiran yang terletak bersebelahan turut mengalami kerosakan akibat runtuhan tebing sungai itu.
Tinjauan Bernama di lokasi mendapat bomba telah meletakkan pita keselamatan di lokasi tersebut bagi menghalang orang ramai menghampiri kawasan tebing sungai. – Bernama
Leave a Reply