AHLI Parlimen Julau, Larry Sng hari ini mengesahkan bahawa beliau merupakan Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Memetik laporan New Straits Times, beliau berkata, partinya tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Walau bagaimanapun, katanya, Parti Bangsa Malaysia akan menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Tidak, kami tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri, kami akan menyokong GPS,” katanya.
Bekas Pengerusi PKR Sarawak itu menambah, parti politik baharu itu akan dilancarkan dalam masa beberapa minggu akan datang.
Beliau juga akan menjelaskan lebih lanjut tentang Parti Bangsa Malaysia pada hari pelancaran.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengesahkan bahawa beliau berganding bahu dengan Larry dalam proses membentuk sebuah parti politik baharu.
Beliau menyatakan bahawa parti itu terbuka kepada semua kaum dan mengalu-alukan Ahli Parlimen Bebas termasuk bekas pemimpin PKR untuk menyertainya.

Ura-ura tentang penubuhan parti tersebut mula timbul baru-baru ini apabila salinan borang permohonan keahlian parti itu tular dalam media sosial.
Setakat ini, masih belum diketahui siapakah pucuk pimpinan tertinggi parti itu yang menyandang jawatan Pengerusi atau Presiden.
Walaupun Larry menyatakan partinya menyokong GPS di Sarawak, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menyokong kerajaan sedia ada yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
Banyak rahsia menyelubungi parti baharu itu dan diharap segala persoalan akan terungkai apabila ia dilancarkan kelak.
Leave a Reply