aminuddin yahaya DAP judi

DAP cabar pengharaman judi, kerajaan negeri boleh hilang kuasa

TINDAKAN DAP mengheret isu pengharaman judi di Kedah ke mahkamah boleh menyebabkan kerajaan negeri tiada kuasa mengekang kegiatan yang menimbulkan pelbagai masalah sosial itu.

Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, mereka mengambil tindakan tersebut ketika orang ramai menumpukan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut beliau, mereka menggunakan alasan kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyalahgunakan kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Biasanya isu-isu rakyat yang lain, mereka akan setakat bermain di media. Tetapi dalam situasi ini, sebegitu sekali serius judi dibela; iaitu ke mahkamah.

“Apa yang diusahakan mereka di mahkamah ini bukan perkara kecil sekadar ‘pejudi vs Menteri Besar Kedah’ tetapi jauh lebih besar dari itu. Implikasinya boleh sehingga ke tahap semua kerajaan negeri tiada kuasa mengekang judi di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 18 November lalu, DAP telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi mencabar keputusan kerajaan negeri Kedah tidak memperbaharui lesen judi di negeri itu.

Terdahulu, pada 14 November, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

Beliau berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

“Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

“Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah di Alor Setar.

Aminuddin berpandangan, kerajaan negeri Kedah harus diberikan sokongan solidariti oleh rakyat yang mahu melihat Malaysia sejahtera dari gejala tidak sihat ini.

:Alhamdulillah, kita lihat bukan sahaja orang Melayu yang menyokong agar judi disekat dan dikawal kerana ianya isu sejagat selain ianya adalah suatu yang diharamkan dalam Islam.

“Ia memang terbukti bahawa perjudian merosakkan masyarakat dan institusi kekeluargaan dari pelbagai sudut.

“Tahniah Menteri Besar Kedah atas usaha ini. Saya harap negeri-negeri lain juga mampu mengambil langkah sebegini demi kesejahteraan rakyat melangkaui kepentingan para taikun pemilik syarikat judi yang tidak patut dilayan,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *