Oleh RAHIMI MOHAMAD
SERAMAI 1,440 pengembara dijangka akan menggunakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua pada minggu pertama pelaksanaannya bermula 29 November ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, berdasarkan perbincangan kedua-dua negara, jumlah mereka yang menggunakan laluan tersebut dijangka meningkat kepada 2,500 orang pada minggu kedua dan seterusnya 5,000 orang pada minggu ketiga.
Justeru itu, beliau berharap agar pembukaan VTL darat yang dijadualkan berjalan serentak dengan VTL udara pada tarikh sama tidak akan ditangguhkan.
“Berdasarkan keupayaan dan persediaan awal untuk buka sempadan, dijangkakan minggu pertama jumlah pergerakan keluar masuk ialah 1,440 orang pengembara.
“Sama ada bilangan ini menggunakan pengangkutan awam atau dibenarkan menggunakan kenderaan persendirian, ia sedang dimuktamadkan,” katanya ketika Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di Iskandar Puteri, hari ini.
Hasni (UMNO-Benut) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu), Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) dan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) yang bertanyakan kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) VTL darat, kategori dan jumlah pengembara.
Bagaimanapun Hasni berkata, Johor telah bersedia dengan segala SOP dan telah pun membangunkan sistem yang boleh membantu kerajaan Persekutuan untuk menampung VTL darat ini.
“Kita ada Johor Travel Safe, sistem yang telah dibangunkan dan telah membantu kerajaan Persekutuan ketika pelaksanaan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang membenarkan masing-masing seramai 2,000 orang dan 400 orang,” katanya.
Mengenai kategori pengembara yang dibenarkan, Hasni berharap agar kategori yang sama untuk VTL udara akan dibenarkan juga untuk VTL darat.
“Bagi memastikan SOP yang dilaksanakan bersesuaian dengan kapasiti saringan dan pengembara, satu ujian rintis berhubung VTL darat dijangka berjalan esok,” katanya.
Ujar Hasni lagi, kerajaan negeri bersama-sama Kementerian Kesihatan sedang menyediakan dan mengukuhkan SOP berkenaan VTL darat terutamanya mengenai prosedur saringan kepada mereka yang ingin keluar dan masuk sempadan kedua-dua buah negara.
“Secara prinsipnya, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif VTL darat ini dan ia merupakan satu langkah progresif untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa negara yang selamat.
“Ia adalah satu lagi kejayaan penting dalam kerjasama Malaysia dan Singapura yang berupaya untuk memulihkan ekonomi kedua-dua negara terutama sekali di Johor,” katanya.
Leave a Reply