dalaman COVID-19 pentadbiran Ismail calon-calon PAS kerusi menang tuan ibrahim tuan man

PRN Melaka: Undi diterima calon-calon PAS meningkat

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan peningkatan dari segi jumlah undi yang diterima oleh calon-calon dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Bagi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, perkembangan itu adalah memberangsangkan.

“Terima kasih kepada seluruh pemimpin dan ahli PAS. Terima kasih juga kepada para pendukung dan penyokong PN. Kita telah berusaha yang terbaik. Semoga Allah ganjari usaha dan pengorbanan yang telah diberikan.

“Kepada semua pengundi rakyat Melaka, terima kasih atas undian yang diberikan. Kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PAS menunjukkan peningkatan undi yang memberangsangkan. Alhamdulillah. ADUN yang telah dipilih rakyat, selamat menjalankan tugas dengan adil & amanah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Calon-calon dari PAS bertanding di sembilan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Walaupun Melaka bukan dikenali sebagai kubu kuat PAS, calon-calon dari parti itu memberi tentangan sengit di beberapa kerusi.

Di Serkam misalnya, Ahmad Bilal Rahudin tewas tipis kepada penyandang kerusi tersebut dari Barisan Nasional (BN), Datuk Zaidi Attan.

Zaidi hanya beroleh 79 undi majoriti berbanding 2,737 undi majoriti yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Seorang lagi calon muda dari PAS iaitu Muhammad Al Afiz Yahya menunjukkan potensi besar apabila beroleh jumlah undi yang agak besar di kerusi DUN Bukit Katil.

Jumlah 3,715 undi yang diterimanya agak signifikan memandangkan beliau merupakan muka baharu dalam politik pilihan raya.

Perlu diambil kira juga faktor bahawa Muhammad Al Afiz berdepan dengan penyandang kerusi berkenaan, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri Melaka era rejim Pakatan Harapan (PH).

Berdasarkan potensi besar yang ditunjukkan oleh calon-calon muda yang mewakili PN dari PAS, mereka boleh diketengahkan untuk menggalas cabaran yang lebih besar di peringkat Parlimen pada PRU-15.

Memandangkan mereka kini telah dikenali dalam kalangan masyarakat, kempen PN di kawasan Parlimen yang bakal ditandingi mereka juag menjadi lebih mudah.

Cuma post mortem pasca PRN Melaka perlu dilakukan secara jujur dan telus bagi mengesan kelemahan yang boleh ditambah baik agar persiapan menjelan PRU-15 menjadi lebih mantap lagi jitu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *