SEORANG mekanik ditemukan maut dalam keadaan dihempap sebuah kereta yang dipercayai sedang dibaikinya di sebuah bengkel di Kampung Bukit, Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi.
Mangsa, Muaz Mat Isa, 31, ditemukan dalam keadaan tersepit di bawah kereta jenis Proton Exora kira-kira pukul 11.45 malam.
Mangsa ditemui oleh rakannya yang datang mencarinya di bengkel itu dan difahamkan ketika kejadian mangsa sedang bekerja bersendirian.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Helmirizal Che Morad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.54 malam dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Tambahnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati seorang lelaki berada dalam keadaan terlentang di bawah kereta tersebut.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas dan mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 1 pagi dalam keadaan cedera pada bahagian muka dan badan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan difahamkan dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat. – SB
Leave a Reply