AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpandangan, masih terlalu awal Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, meskipun parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun BN perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi semalam sebelum memutuskan sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRU akan datang.
“Kita kena terima hakikat bahwa PRN Melaka purata hanya 65 peratus sahaja keluar mengundi dan 35 peratus tidak keluar mengundi. Dalam apa jua keputusan yang akan dibuat, kita kena fikirkan soal sama ada Melaka ini adalah representasi kepada PRU atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pemberian aset di Pejabat Kesihatan Daerah Rembau di Rembau.
Khairy seterusnya mengucapkan tahniah kepada jentera parti BN yang dipimpin oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, atas kemenangan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka semalam.
“Secara keseluruhannya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan lancar walaupun ada beberapa kes lain, tetapi boleh tahan… sederhana (pematuhan SOP). Setakat ini semua parti berjaya menyesuaikan diri dengan kempen yang baharu, ini adalah satu model untuk PRN Sarawak nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan Sistem Amaran Berisiko Tinggi bagi mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 dalam negara.
Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata, menerusi sistem tersebut KKM mencadangkan beberapa sektor diperketat sekiranya didapati berlaku peningkatan kes namun ia bukan sekatan pergerakan penuh.
“Saya akan umumkan perkara itu termasuk perincian dalam situasi bagaimana sistem ini akan diguna pakai. Mungkin dalam masa seminggu atau dua minggu ini saya akan maklumkan.
“Kalau boleh kita mahu elak sekatan pergerakan, sebab sekatan pergerakan ini bukan hanya mengganggu ekonomi tetapi memberi kesan yang lain, kesan kesejahteraan keluarga dan kesihatan mental, saya rasa rakyat mungkin tidak boleh menghadapi satu lagi sekatan pergerakan,” katanya.
Khairy berkata, setakat ini keadaan sistem kesihatan KKM terkawal namun tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 sudah ada dan beliau mengingatkan orang awam tidak terlalu selesa terutama di negeri-negeri yang berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.
“Kita sangat bimbang kerana sudah nampak tanda-tanda awal (kes jangkitan tinggi), KKM nampak perkara ini dari tahun lepas dan memang berlaku. Sistem kesihatan belum sampai ke tahap lumpuh namun tanda kebimbangan amat jelas,” katanya.
Beliau berkata, perkara yang dibimbangkan adalah peningkatan kes yang serius sehingga kemasukan ke hospital terutama kes kritikal kategori empat dan lima.
Menurut Khairy, mengambil contoh di Negeri Sembilan, kes kemasukan ke hospital meningkat sekali ganda dalam tempoh sebulan iaitu 35 pesakit memerlukan bantuan oksigen pada 25 Okt lepas berbanding 70 pesakit semalam.
“Jika trend ini berterusan, kita terpaksa menyediakan katil bagi rawatan kritikal seperti di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bekalan oksigen bagi merawat pesakit,” katanya.
Mengenai suntikan dos penggalak vaksin COVID-19, Khairy sekali lagi menyeru orang ramai yang mendapat janji temu supaya menerima suntikan sekali gus tidak memilih jenis vaksin yang diberikan pihak KKM.
Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat kes sampingan yang serius dalam kalangan penerima suntikan itu. – BERNAMA
Leave a Reply