tey kok kiew lim guan eng

DAP kalah teruk, Kok Kiew letak jawatan, Guan Eng bila lagi?

BERIKUTAN prestasi buruk lagi memalukan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Tey Kok Kiew meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Melaka hari ini.

Keputusan semalam menyaksikan parti cauvinis itu gagal mempertahankan 50 peratus daripada kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

DAP tumbang di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bemban, Gadek, Duyong dan Pengkalan Batu.

Kok Kiew sendiri gagal mempertahankan penguasaan DAP di DUN Bemban yang dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Hanya empat kerusi yang mampu dikekalkan oleh DAP iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Walau bagaimanapun, jumlah undi majoriti yang diperoleh DAP di keempat-empat kerusi terbabit jatuh mendadak berbanding PRU-14.

Memetik laporan Malaysiakini, Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatan dalam sidang media di Melaka.

Namun, beliau masih lagi kekal sebagai ahli DAP.

DAP bertanding pada PRN Melaka dalam keadaan dibelenggu oleh masalah yang berpunca daripada keputusan PKR dan PAN menerima dua bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah.

Penyokong-penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) dikatakan memprotes tindakan menerima bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menyuarakan bantahan keras terhadap pencalonan dua bekas pemimpin UMNO terbabit namun seperti tidak diendahkan oleh sekutu-sekutunya iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Idris bertanding atas tiket PKR di DUN Asahan manakala Nor Azman mewakili PAN di Pantai Kundor.

Strategi mengutip Idris dan Nor Azman sebagai calon hanya menikam diri sendiri kerana mereka bukan sahaja tewas, malah menjadi faktor yang mencetuskan keretakan dalam PH.

Mungkin Guan Eng juga patut meletak jawatan ekoran kegagalan memalukan DAP di Melaka itu.

Beliau sudah kehilangan taringnya dan kata-katanya tidak dipedulikan lagi oleh sekutu-sekutunya dalam PH.

Lebih dari itu, kepimpinan DAP memerlukan nafas baharu bagi membuang stereotaip cauvinis yang melekat kuat sebagai identitinya sehingga menyebabkan parti itu ditolak oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *