SELEPAS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Barisan Nasional (BN) mula memberi ‘tekanan’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen lebih awal.
Langkah itu bertujuan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau telah menyuarakan pandangan itu kepada Ismail Sabri semalam.
“Saya cakap dengan beliau (Perdana Menteri) semalam (Sabtu), kita perlu pertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum. Suka atau tidak, PRU bulan Julai, sebab perjanjian persefahaman kerajaan dan pembangkang sampai bulan Julai.
“Dinamik politik tidak statik dan boleh berubah setiap hari. Jadi, terpulang kepada BN dan UMNO untuk membuat ulang kaji mengenai apa yang terbaik boleh dilakukan. Sama ada perlu untuk PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat atau tunggu sehingga habis penggal mesti difikirkan secara mendalam.
“Namun jika tanya saya, saya mahu PRU-15 diadakan esok. ‘The feel good factor’ (faktor baik) ada di sini (PRN Melaka) kerana masih lagi segar dengan kemenangan dan mandat yang diberi oleh rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di Seremban, hari ini.
BN membentuk kerajaan negeri Melaka setelah memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka.
Walaupun ramai pemimpin BN khususnya dari UMNO terlalu yakin kejayaan tersebut akan diulangi pada PRU-15, terdapat banyak faktor yang mungkin menyebabkan momentum itu tidak berterusan.
Pengaruh BN dan UMNO masih lagi lemah di kebanyakan negeri seperti Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Di Johor pula, pengaruh Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu tidak boleh dipandang ringan.
Kejayaan di Melaka tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur bagi menentukan BN dan UMNO boleh menang besar pada PRU-15.
Negeri itu sememangnya diketahui sebagai salah satu kubu kuat UMNO walaupun terlepas ke tangan rejim Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.
Perlu diingat bahawa PRN Melaka menunjukkan pola pengundian yang sukar dijangka dan senario serupa berkemungkinan besar berlaku pada PRU-15.
Jika BN dan UMNO terburu-buru mahu PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, tidak mustahil mereka akan kecundang sekali lagi dan ‘feel good factor’ akhirnya bertukar menjadi ‘syok sendiri’.
Leave a Reply