NEGARA-NEGARA Teluk dan Asia perlu waspada dalam memerangi ekstremisme serta tidak harus mengalihkan pandangan daripada peperangan ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, perkembangan di Afghanistan mungkin menjadi pencetus semangat kepada kumpulan militan yang tidak aktif di Asia Tenggara sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa kedua-dua rantau akan menjadi syurga buat pengganas yang mencari pangkalan baharu.
Hishammuddin berkata, ketika dunia menumpukan perhatian kepada peperangan menentang COVID-19, tindakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa keganasan dan ekstremisme sudah tidak begitu penting namun kerajaan di seluruh dunia tidak harus membiarkan perkara ini mengaburi pandangan mereka serta membuai mereka dengan rasa selamat yang palsu.
“Ketika puak pelampau ini merasakan perhatian kita telah teralih maka pada saat itulah mereka akan bertindak memperhebat niat jahat mereka,” katanya dalam ucapan yang disampaikan secara maya pada Sesi Pleno Kedua Dialog Manama anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISS) yang berlangsung di Bahrain hari ini.
Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri bagi Kerajaan Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, Penasihat Keselamatan Negara bagi United Kingdom, Sir Stephen Lovegrove dan Ketua Pengarah merangkap Ketua Eksekutif ISS, Dr John Chipman.
Hishammuddin juga berkata, kedua-dua rantau berpeluang menempa masa depan yang lebih baik bersama-sama dalam landskap global baharu apabila dunia beralih ke fasa endemik.
Beliau berkata, Negara-Negara Teluk dan Asia harus mencari persamaan dan memupuknya merentasi pelbagai sektor sebagai dua rantau yang dihubungkan oleh begitu banyak persamaan.
“Kita perlu bekerja keras ketika ini dalam usaha menjamin masa depan yang kita inginkan untuk anak cucu kita. Kita perlu melakukannya untuk diri sendiri demi membina asas yang kukuh buat wawasan masa depan bersama ini.
“Kita harus mampu melakar nasib sendiri secara bersama. Kita harus mengelak daripada ditarik ke arah yang berbeza dan menempa keunikan dalam wawasan,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply