mengelirukan dewan pinjaman UMNO Najib juta pasport kebangkrapan

Selepas dikecam, Najib batal mohon rumah percuma RM100 juta

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik semula permohonan beliau untuk menerima sebidang tanah di Bukit Petaling selepas didedahkan.

Memetik laporan Malaysia Now, beliau berkata, meskipun layak menerima tanah itu ‘secara prinsip’, beliau tidak mahu permohonan beliau dijadikan isu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya faham rakyat berdepan saat-saat sukar. Keutamaan negara haruslah kepada rakyat.

“Memandangkan isu ini mencetuskan suasana tidak selesa, saya cadangkan kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) melihat peruntukan dan tarik semula peruntukan ini kepada perdana menteri selepas ini,” katanya pada sidang media di Melaka hari ini.

Najib memberitahu, beliau tidak tahu-menahu mengenai nilai tanah itu yang dilaporkan berjumlah RM100 juta termasuk kos pembinaan kediaman.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan perkara itu sekali gus menghangatkan suasana Dewan Rakyat.

“Bajet ini berkenaan dengan hadiah kepada Najib iaitu rumah bernilai RM100 juta kerana kononnya jasanya kepada negara. Ini tidak disebut kerana setakat yang kita tahu, dia adalah seorang pesalah yang dihukum 12 tahun penjara dan denda lebih RM200 juta.

“Inikah jasa kerajaan yang ada ini nak balas budi. Akan datang nanti, perdana menteri akan curi duit kerana dapat tambah duit lagi. Duit yang dicuri juga diberi balik,” kata Dr Mahathir.

Pemberian tanah itu dilaporkan menerima bantahan menteri-menteri kanan dalam Kabinet, antaranya Tengku Zafrul, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Blok pembangkang turut menyuarakan ketidakpuasan hati dengan perkembangan itu dengan Pakatan Harapan (PH) mahu membincangkan semula memorandum persefahaman mereka dengan kerajaan susulan pendedahan MalaysiaNow.

Najib sedang dalam proses rayuan selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada sidang akhbar tersebut, ahli Parlimen Pekan itu mengulangi beberapa perkara yang disebutkan dalam hantaran di laman Facebook beliau. Katanya, keistimewaan itu diluluskan pada zaman Mahathir dan ia diperuntukkan kepada bekas perdana menteri.

Katanya, beliau memilih tanah itu atas faktor lokasi yang paling sesuai untuk keluarganya.

MalaysiaNow hari ini mendedahkan Najib memilih tanah itu selepas menolak pilihan yang lebih murah.

Selepas Barisan Nasional tumbang, Najib tinggal di kediaman peribadinya di Taman Duta dan menerima elaun sebanyak RM10,000.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *