TAKTIK seorang lelaki menjadikan sebuah kilang milik keluarganya yang sudah tidak beroperasi sebagai stor menyimpan dadah terbongkar selepas suspek ditahan dalam Ops Kingfisher di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, kelmarin.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang dan polis merampas dadah ketamin seberat 20.66 kilogram (kg), methamphetamine (7.4 kg) dan ekstasi (3.30 kg) yang dianggarkan bernilai RM1.52 juta,
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, modus operandi lelaki itu adalah menjadikan kilang yang sudah tidak beroperasi sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Dadah yang dirampas itu disyaki adalah untuk pasaran tempatan. Kita turut menyita wang tunai berjumlah RM200,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kes berasingan, Yahaya berkata, seramai tiga lelaki ditahan dalam Ops Lizard di sekitar Lembah Klang, pada Isnin.
“Kesemua lelaki berusia 28 hingga 31 tahun itu ditahan pada jam 6.45 petang. Kita turut merampas dadah ganja (31.51 kg) dan 2,800 biji pil erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM122,025,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM42,551.
“Modus operandi sindiket yang bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini adalah menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dan pengedaran dadah.
“Dadah itu adalah untuk pasaran tempatan dan hanya diedarkan kepada kenalan rapat sahaja,” katanya.
Yahaya memaklumkan kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Leave a Reply