CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ja’afar Othman menawarkan untuk meningkat ekonomi makro dan mikro penduduk setempat sekiranya diberi mandat oleh rakyat menerajui DUN berkenaan.
Ja’afar berkata, penduduk Durian Tunggal banyak menghasilkan produk-produk persendirian namun menghadapi situasi yang sukar apabila produk yang dihasilkan itu tidak dapat dipasarkan dengan baik.
“Jadi, itu adalah aspek ekonomi yang mungkin akan saya perkukuh dan perkemaskan. Seperti yang saya cakap sebelum ini, produk kita ada, tapi pemasarannya kurang. Jadi perkara ini kita akan bantu secara teknikal.
“Sebab sekarang kita sudah ada teknologi, mereka juga boleh berniaga secara atas talian contohnya. Jadi kami akan cuba membantu peniaga-peniaga kecil ini dari sudut pemasaran,” katanya dalam satu bual bicara Sembang Santai HarapTV secara langsung di Facebook.
Di samping itu, Ja’afar turut beriltizam untuk membantu pengusaha kecil beragama Islam yang menjual produk makanan untuk mendapatkan sijil halal kepada produk mereka.
“Ini kerana, produk makanan halal ini satu produk besar pada masa ini, yang kita boleh eksport sampai ke Timur Tengah atau ke negara China. Jadi, itu adalah satu perkara yang kita boleh pasarkan. Siapa tahu suatu hari nanti produk anak Durian Tunggal akan pergi peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Perkara ini selari dengan tunjang pertama daripada enam tunjang Ikrar PN Untuk Melaka yang dilancarkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Glanmerie Shah Alam pada 14 November lalu.
Tunjang pertama itu memfokuskan untuk memantapkan ekonomi negeri Melaka agar lebih utuh dan mampan termasuk memberi tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi selain memberikan fokus terhadap pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Leave a Reply