Calon KM : Pemilihan Mas Ermieyati dijangka beri kelebihan kepada Perikatan Nasional

AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai calon Ketua Menteri jika Perikatan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini.

Pemilihan Ahli Parlimen Masjid Tanah yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara itu diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mas Ermieyati, 45 tahun akan berhadapan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab.Rauf Yusoh di DUN tersebut.

Pengumuman Muhyiddin itu dilihat mampu memberi impak kepada sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional. Ia memandangkan melalui kajian di lapangan yang dijalankan oleh pelbagai pihak terdapat pengundi yang mahukan muka baharu menjadi Ketua Menteri dan kerajaan negeri diuruskan oleh pentadbiran baharu.

Keputusan Perikatan Nasional dijangka memberi kesan sokongan kepada Pakatan Harapan  dan Barisan Nasional terutamanya dalam pengundi atas pagar.

Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing mencalonkan kembali dua bekas Ketua Menteri bagi menduduki jawatan tersebut. Mereka ialah Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali (Barisan Nasional) dan Adly Zahari (Pakatan Harapan).

‘’Saya kira ini kali pertama kali dalam sejarah negara seorang wanita profesional dan berkelayakan dicalonkan sebagai Ketua Menteri. Ini membuktikan Perikatan Nasional sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina,’’ kata Muhyiddin.

Beliau berkata, di Melaka segala-galanya bermula, jika seorang wanita terpilih sebagai Ketua Menteri.

‘’Kita menaruh harapan kesemua 28 calon ADUN Perikatan Nasional akan mencapai kemenangan besar,’’ katanya.

Muhyiddin sekali lagi menegaskan, Perikatan Nasional adalah satu-satunya parti dalam PRN Melaka yang  membuat akujanji menentang rasuah dan salah guna kuasa.

Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata, beliau tidak kisah pandangan sesetengah penganalisis bahawa PRN itu hanya melibatkan pertarungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

‘’PRN di Sabah sudah menjadi bukti. Kita mencapai kemenangan walaupun baru tiga minggu ditubuhkan, sekarang kita ada kerajaan. Jadi saya (fikir) jangan memandang rendah kebijaksanaan pengundi-pengundi Melaka,’’ katanya.

Mas Ermieyati yang berkelulusan undang-undang adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *