TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci termasuk berkaitan aspek teknikal berhubung kejadian pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, di sini malam tadi.
Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan segera.
“Kami akan jalankan siasatan teknikal secara terperinci, setakat ini yang lain, saya tidak dapat komen,” katanya kepada pemberita ketika berada di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi melawat mangsa nahas yang cedera dalam kejadian itu, di Butterworth awal pagi ini.
Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa (16 Nov) itu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.
Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Unit Forensik dan Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya di sini, mendapati beberapa anggota polis dan TUDM berada di perkarangan hospital seawal 8 pagi.
Bagaimanapun waris dan anggota keluarga terdekat mangsa masih belum kelihatan dan perkarangan hospital didapati dikawal ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Difahamkan pihak hospital akan melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa nahas pada pukul 9 pagi hari ini.
Berikut adalah kronologi insiden membabitkan pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1996.
- 18 Jun 1996 — Pesawat pejuang Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan berhampiran Pangkalan TUDM di Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.
- 23 Julai 1996 — Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan. Dua juruterbang terselamat.
- 10 Sept 1998 — Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 yang dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 200 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan.
- 2 Okt 2000 — Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.
- 18 Dis 2003 — Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.
- 23 Jun 2005 — Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, mengorbankan juruterbangnya.
- 4 Mei 2007 — Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.
- 15 Jun 2017 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. Dua juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat itu terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
- 16 Nov 2021 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Pangkalan Udara di Butterworth, Pulau Pinang pada 10.07 malam. Seorang juruterbang terselamat manakala seorang lagi terkorban. – BERNAMA
Leave a Reply