SEBARANG bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak sebaiknya biarlah diputuskan selepas pilihan raya, kata Pengerusi Perikatan (PN) Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, buat masa ini, biarlah proses Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) berjalan lancar, dan beri peluang untuk rakyat Melaka untuk memilih kerajaan yang hendak dibentuk.
“Saya tidak katakan kita bersedia bekerjasama atau tidak bersedia bekerjasama… jawapan saya jangan diputar media mengatakan saya bersedia, saya tidak berkata begitu, ‘I am non-committal’.
“Saya mahu melihat apa keputusan pilihan raya dan selepas itu kita akan atur apa langkah strategi kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama ‘British Malaysia Chamber of Commerce’ di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan semalam bahawa BN, sedia merintis kerjasama dengan mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan dan tidak hanya terhad kepada PN sahaja, sekiranya hanya mampu mempertahankan 13 kerusi yang dimenangi.
“Yang penting kita teruskan usaha yang akan memutuskan nanti akhirnya pengundi-pengundi akan nilai setiap parti bertanding mereka nak sokong mana… harap mereka sokong PN dan apa pun soal berbangkit selepas itu akan lihat selepas itu.
“Kalau pengundi Melaka faham dan tahu ini adalah pilihan raya untuk negeri bukan Pilihan Raya Kecil yang nak pilih wakil rakyat seorang…sewajarnya ada satu pandangan yang agak menyeluruh undi mereka untuk bentuk kerajaan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri di Melaka selepas memenangi 15 kerusi iaitu 8 (DAP), 3 (PKR), 2 (Amanah) dan 2 (Bersatu).
Pada 2020, PN mengambil alih kerajaan dengan 17 kerusi iaitu 14 BN, dua Bersatu dan satu Bebas sebelum empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu ini. – BERNAMA
Leave a Reply