
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin tidak dapat menahan perasaan sebak ketika menceritakan tentang pengorbanan arwah ibunya bagi memastikan beliau cemerlang dalam bidang pelajaran serta berjaya dalam kehidupan.
Malah, air mata beliau tidak dapat ditahan lagi ketika mengimbau kembali tentang ibunya yang sanggup menemaninya mengulang kaji pelajaran semasa di bangku sekolah dahulu.
“Kadang-kadang saya bangun 3 pagi belajar, ibu akan bangun tunggu. Itulah pengorbanan ibu saya…” katanya dalam nada sebak sebelum air matanya menitis dalam wawancara yang disiarkan melalui laman Facebook beliau, hari ini.
Setelah kesedihannya reda sedikit, Bakri berkata, apa sahaja permintaan arwah ibunya tidak pernah dikecewakan oleh beliau dan adik beradik yang lain.
“Hatta kalau saya dapat bonus pun beliau tanya: Kau dapat bonus berapa bulan?
“Saya kata dua bulan. Boleh bagi mak sebulan, saya bagi. Tapi di akhir hujung hayatnya baru kami tahu bahawa wang yang saya berikan dia itu sebenarnya diinfaq kepada sebuah sekolah,” jelasnya.

Dalam hantaran yang sama, Bakri mengakui beliau belum pernah lagi menitiskan air mata sebegitu.
Berikut adalah catatan penuh beliau:
“Saya nak buat pengakuan kepada semua..
“Belum pernah lagi saya menitiskan air mata sebegini. Bila teringat pengorbanan arwah ibu, pasti menitis air mata saya.
“Saya lahir dari keluarga susah, abang saya terpaksa berhenti belajar untuk bantu saya sambung pelajaran.
“Setiap kali saya bangun belajar sehingga 3 pagi, ibu saya sanggup tunggu saya. Sampai satu masa, ibu bagi semangat kepada saya, dia rendam kaki saya supaya saya tidak mengantuk.
“Itulah pengorbanan arwah ibu yang saya takkan lupa. Saya berjaya harini juga atas doa ibu saya.
“Ibu saya selalu pesan, kalau dah senang nanti, kena ingat orang susah, kena bantu mereka. Pesan ibu tak pernah saya lupakan. Sekiranya saya diberi rezeki menjadi pemimpin di Kelebang nanti, golongan B40 ni lah yang akan saya bantu terlebih dahulu. Saya faham kesusahan mereka kerana saya juga bermula dari situ.
“Insya-Allah, saya akan bersama warga Kelebang merealisasikannya.
“Kelebang sejahtera harapan kita bersama.
“Saya Bakri Jamaluddin, sedia berkhidmat untuk anda.”
Bakri berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong dan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Gue Teck pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Leave a Reply