SEORANG mangsa kemalangan jalan raya baru-baru ini menghargai pertolongan yang diberikan oleh calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ja’afar Othman.
“Terima kasih banyak-banyaklah sebab tolong saya kemalangan hari itu,” kata Khairani kepada Ja’afar yang meluangkan masa mengunjunginya semalam.
Rakaman video kemalangan yang melibatkan motosikal yang ditunggang Khairani dan sebuah kereta dikongsi dalam laman Facebook milik Ja’afar.
Insiden berlaku di simpang tiga berhampiran sebuah hentian bas di lokasi yang tidak dinyatakan.
Kelihatan Ja’afar dan beberapa individu lain segera bergegas membantu Khairani yang terbaring di atas jalan raya akibat kemalangan tersebut.
Dalam rakaman video yang sama, Ja’afar berkata, beliau secara kebetulkan berada di lokasi kejadian.
“Hari kejadian tu kebetulan saya ada. Kalau bukan sebab pilihan raya pun, kita kan orang sekampung, kita kenal orang kampung kita.
“Kebetulan kemalangan berlaku di depan mata saya, dan sahabat-sahabat saya ada, kita cuba bantulah,” katanya.
Ja’afar turut mendoakan supaya Khairani cepat sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
Pada PRN Melaka Sabtu ini, Ja’afar akan mencabar penyandang kerusi DUN Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dari Pakatan Harapan (PH).
Dua lagi calon yang bertanding ialah Mohd Erfan Mahrilar (Bebas) dan Zahari Abd Kalil (BN).
Leave a Reply