PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan penduduk negeri itu bakal kehilangan satu lagi perkhidmatan ikonik seperti feri iaitu kereta api furnikular Bukit Bendera yang sudah berusia hampir 100 tahun itu.
Kebimbangan itu berikutan pengumuman Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sedang mempertimbangkan menutup perkhidmatan tersebut yang bermasalah jika terus rosak, dengan menekankan kepentingan keselamatan penumpang.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya terkejut dengan pengumuman itu dan berharap penutupan tersebut tidak akan kekal selamanya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada pengumuman cadangan menutup keretapi furnikular itu untuk memberi laluan kepada projek kereta kabel yang dicadangkan.
“Pengumuman kemungkinan penutupan Kereta api Bukit Bendera ini nampaknya memberikan kewajaran kepada keperluan untuk kereta kabel, sama ada sebagai pengganti atau alternatif bagi membawa orang ramai ke atas bukit itu.
“CAP tidak menentang penutupan Kereta api Bukit Bendera untuk pembaikan atau penyeleggaraan kerana keselamatan kereta api adalah yang paling penting, tetapi untuk memberi alasan kereta api itu terus rosak dan bermasalah, dan oleh itu ia mungkin ditutup adalah seperti melepaskan sebarang harapan terhadap perkhidmatan ikonik ini yang penting untuk pelancong dan penduduk di atas bukit itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kereta api Bukit Bendera, Pulau Pinang yang ikonik itu dibuka pada tahun 1923 dengan kerja pembinaannya bermula pada tahun 1920.
Pemodenan terakhir kereta api itu adalah pada tahun 2011 yang mengurangkan masa keseluruhan perjalanan kepada hanya 10 minit.
Menurut Mohideen, kereta api Bukit Bendera itu telah mencipta banyak kenangan indah untuk kedua-dua rakyat Pulau Pinang dan pelancong dan orang ramai akan membantah jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menutupnya untuk selamanya.
Katanya, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera adalah di bawah kerajaan negeri dan akan menimbulkan kemarahan rakyat Pulau Pinang sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk menutup Kereta api Bukit Bendera.
Jelasnya, punca kerosakan kereta api itu harus dikesan dan diperbetulkan dan pada zaman berteknologi tinggi hari ini, adalah sesuatu yang luar biasa kerosakan itu tidak dapat dikurangkan atau dicegah dengan ketara.
“Untuk menutup sepenuhnya dan meninggalkannya adalah tidak bertanggungjawab kerana kereta api itu telah ditukar dan dimodenkan hanya pada tahun 2011.
“Seharusnya tiada dwistandard dalam melindungi ikon dan warisan Pulau Pinang,” katanya.
Leave a Reply