Bemban Dr Mohd Yadzil Yaakub

Beri Dr Yadzil peluang wakili suara penduduk Bemban

TIDAK dinafikan pengalaman amat penting dalam menilai keupayaan seseorang.

Namun, jika peluang tidak diberikan kepada seseorang, khususnya ‘orang baharu’ bagaimana seseorang itu akan beroleh pengalaman?

Hal yang sama berlaku kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub.

Sebagai calon muka baharu berbanding empat lawannya, doktor perubatan swasta itu mengharapkan pengundi DUN Bemban menberikannya peluang untuk membuktikan kepimpinannya membawa perubahan di kawasan itu.

“Saya faham, saya satu-satunya calon baharu di antara 5 calon di Bemban, semua ‘heavyweight’, empat orang pencabar saya adalah ‘heavyweight’, dan saya hormati mereka semua.

“Bagi saya, kalau kita berfikir tiada pengalaman, saya rasa tidak akan ada orang berpengalaman jika tidak diberi peluang.

“Jadi saya sangat berharap saya diberi peluang itu, supaya saya dapat tunjukkan apa yang saya aspirasikan. Jika saya tidak diberi peluang, harapan itu terkubur sahaja,” katanya kepada SatuBerita.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, Dr. Yadzil yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka akan ditentang Azmi Kamis (Bebas), Ng Choon Koon (Bebas), Tey Kok Kiew (PH) dan Datuk Koh Chin Han (BN).

Yadzil yang juga Ketua Bahagian Bersatu Jasin berkata, sama seperti lumrah kehidupan manusia yang meningkat secara berperingkat-peringkat, politik juga memerlukan iltizam yang sama.

“Kita tidak dilahirkan terus berdiri, terus berlari. Kita dilahirkan dengan merangkak, kemudian berjalan dan akhirnya berlari.

“Jadi itu yang perlu kita fikirkan, yang paling penting sekali seseorang pemimpin itu ingin berubah menjadi lebih baik dan dia ingin membawa satu perubahan kepada rakyat,” ujarnya.

Mengulas tentang DUN Bemban, beliau berkata, kawasan Bemban berpotensi dimajukan termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

“Jadi kita perlu gunakan apa kekurangan kepada Bemban untuk kita bangunkan, supaya wujudkan peluang-peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau menambah, selain pembangunan, usaha membentuk satu kerajaan yang lebih stabil juga penting supaya pembangunan dan apa sahaja janji yang dibuat dapat disempurnakan, dijadikan kenyataan.

Sehubungan itu beliau berharap, semua pengundi DUN Bemban tidak takut untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

“Saya faham, masih ramai takut untuk keluar mengundi, kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, walaupun kita sudah dapat dua dos (vaksin), masih ramai yang takut.

“Saya yakin pihak Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara sudah bincang dengan rapi, sudah siapkan SOP dengan baik semata-mata untuk menjamin keselamatan setiap pengundi untuk keluar mengundi.

“Jadi kita kena ambil peluang ini, ini masa untuk kita berubah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *